Sabtu, 26 Disember 2015

Tema dan Persoalan Novel Jendela Menghadap Jalan

 

Tema

Kecekalan seorang gadis dalam menempuh berbagai-bagai ujian dan rintangan.

Semasa berada di Kampung sentosa, Lili tidak pernah menghubungi ibunya di kuala Lumpur untuk mengadu masalah.

Dia berusaha   sedaya upaya menempuh ujian dengan semangat yang kental.

Walaupun pernah ditahan, dikurung dan diikat oleh Rafiq di sebuah pondok buruk, peristiwa itu tidak mematahkan semangatnya.

Peristiwa itu menguatkan lagi keinginannya untuk mengikuti perkembangan diri Rafiq dan seterusnya cuba membantu.

Lili cekal mengikuti perkembangan kisah jendela rumah di kampung itu  yang menghadap jalan.
 Persoalan

1. Persoalan Masalah Kepincangan Rumah Tangga seperti yang dihadapi oleh Che Jah dengan suaminya, Seman yang selalu memukul anak-anak serta menderanya. Seman suami Che Jah seorang yang suka berjudi, berhutang dan minum arak telah menyebabkan rumah tangga Che Jah berantakan. Anak-anaknya Haziq dan Rafiq yang baru belasan tahun turut berperangai seperti ayahnya apabila tersalah memilih kawan. Che Jah meminta cerai daripada suaminya kerana sudah tidak tahan dengan perangai suaminya.


2. Persoalan Keagamaan – Dalam perjuangan membina kubah surau di kampung dalam menegakkan syiar Islam. Penduduk sanggup menolak peruntukan dari Yang Berhormat untuk membina sebuah balai raya tetapi bersetuju untuk membina kubah surau bagi tujuan keagamaan.


3. Persoalan Persahabatan – Persahabatan antara Lili dengan Geetha yang begitu akrab walaupun berlainan agama dan bangsa.


4. Persoalan Perpaduan Antara Kaum – Perpaduan kaum menjadi baik seperti adanya hubungan kemesraan yang terjalin antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Mereka hidup aman damai tanpa perbalahan, malah hubungan kaum ini begitu rapat antara keluarga Geetha dan Lili. Geetha pernah bermalam di rumah Lili kerana hubungan yang sangat mesra dan rapat.


5. Persoalan Menuntut Ilmu Pengetahuan – Geetha merupakan seorang mahasiswa yang rajin menuntut ilmu, juga merupakan seorang pelajar tahun satu Jurusan Kejuteraan Awam, Universiti Malaya, begitu juga Lili yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.


6. Persoalan Golongan Muda Yang Terjebak Masalah Dadah – Haziq dan Rafiq yang terjerumus ke dalam kancah ketagihan dadah akibat masalah keluarga yang dihadapi. Tertekan dengan masalah keluarga kerana ayahnya Seman begitu garang dan sering memukul anak-anaknya sehingga menyebabkan hidup mereka tertekan. Mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam kancah ketagihan dadah.


7. Persoalan Hubungan Kekeluargaan Antara Anak dan Ibu Bapa – Ibu Lili tidak berminat untuk menghabiskan masanya di kampung, tetapi menghantar Lili ke kampung sepanjang cuti persekolahan. Ibu Lili melanjutkan pelajaran keluar negara, terdedah dengan dunia Barat sehingga mengganggap kampung terlalu jumud.  Ibu Lili juga terlalu jarang pulang ke kampung untuk menjenguk kedua-dua ibu bapanya, menyebabkan hubungannya menjadi renggang.


8. Persoalan Hubungan Manusia Dengan Alam Sekitar – Hubungan antara manusia dengan alam sekitar seperti datuk sangat mengambil berat tentang herba-herba yang banyak memberi jasa kepadanya. Datuk mengenali semua herba yang boleh dijadikan ubat-ubatan. Datuk sering disindir oleh nenek akibat terlalu prihatin dan membantu penduduk kampung yang bermasalah kesihatan dengan membekalkan ubat tradisional yang dibuatnya sendiri. Ada satu ketika datuk tidak pulang ke rumah hingga menyebabkan nenek berasa risau kerana datuk masuk ke hutan mencari akar-akar kayu tanpa pengetahuannya.


9. Persoalan Suka Fitnah Memfitnah Dalam Masyarakat – Masyarakat Melayu yang suka membuat fitnah antara satu sama lain, yang menyebabkan keretakan dalam masyarakat akhirnya membawa perpecahan. Cerita kubah dilarikan orang oleh beberapa wanita mengesyaki angkara ini sudah pasti dilakukan oleh anak-anak Che Jah yang telah terkenal dengan kejahatan lampaunya. Lili menenangkan keadaan dan meminta agar mereka tidak membuat tuduhan melulu yang tiada kepastiannya.


10. Persoalan tentang sikap prihatin - Lili begitu prihatin dengan Che Jah yang mengalami keganasan rumah tangga. Walaupun Haziq dan Rafiq menculiknya tetapi Lili memaafkan tindakan mereka kerana beranggapan keluarga tersebut memerlukan bantuan pemulihan. Lili sering ke rumah Che Jah untuk memberikan motivasi dan akhirnya meminta bantuan Puan Hamimah seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat aduan tentang sikap suaminya yang buruk selama ini.


11. Persoalan tentang masalah sosial penduduk kampung - Hidup di kampung walaupun berada dalam keadaan selesa, nyaman dengan pemandangan yang cantik namun terdapat pelbagai masalah sosial. Penduduk kampung didatangi oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjual tanah-tanah mereka. Penduduk kampung juga memberontak untuk lebih menyetujui penggantian kubah surau berbanding pembinaan masjid baru. Penduduk kampung juga berhadapan dengan masalah sosial apabila wujudnya keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh Che Jah akan sikap suaminya yang kurang bertanggungjawab diikuti kelakuan anak-anaknya Haziq dan Rafiq yang tersalah memilih kawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan